FISHING FOR LIFE

FISHING FOR LIFE

Rabu, 12 Mac 2014

MH370: Umat Islam seluruh negara diminta terus solat sunat hajat

Umat Islam di seluruh negara diminta terus mengadakan solat sunat hajat bagi memohon dipermudahkan Allah segala urusan mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata dalam menghadapi suasana getir sedemikian, umat Islam dilihat mengetepikan perbezaan fahaman politik untuk terus mendoakan kesejahteraan penumpang dan krew pesawat berkenaan. 

"Sejak mula kes itu, pelbagai pihak mengadakan solat hajat sehingga ke hari ini. Terima kasih kerana berterusan melakukannya tanpa mengira soal parti demi MH370," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama warga Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Islam di sini, hari ini. 



Sebelum ini, Jamil Khir berkata semua masjid di seluruh negara digalakkan mengadakan solat sunat hajat untuk mendoakan agar pesawat MAS itu dijumpai. 

DI PUTRAJAYA, kira-kira 1,500 anggota Pergerakan Wanita Umno dari seluruh negara menunaikan solat sunat hajat di Masjid Putra di sini untuk mendoakan misi pencarian MH370 dipermudahkan Allah. 

Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata: "Saya sudah minta semua anggota Wanita Umno di 191 bahagian dan 19,000 cawangan untuk mengadakan solat hajat. Mereka menyambut baik dan sudah mula melakukannya." 

"Rakan-rakan saya dalam Wanita BN juga akan menggerakkan persatuan-persatuan mereka seperti Kristian, Buddha, Hindu dan lain-lain supaya melakukan sembahyang dan berdoa mengikut agama masing-masing," katanya. 
Di KUANTAN, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyeru kira-kira lapan juta anggotanya yang beragama Islam agar mengadakan solat hajat untuk mendoakan keselamatan dan usaha pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas. 

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, solat hajat itu juga diadakan sebagai tanda simpati dan sokongan terhadap anggota keluarga para penumpang pesawat itu yang masih tidak diketahui nasib mereka sehingga kini. 

"Sudah pasti kita mengharapkan pesawat itu bersama penumpang dan anak kapal ditemui semula dalam keadaan selamat," katanya selepas merasmikan Persidangan Angkasa Peringkat negeri di sini, hari ini. 

Di GEORGETOWN, pegawai dan anggota Polis Pulau Pinang yang beragama Islam mengadakan solat sunat hajat sementara mereka yang berugama Buddha, Hindu dan Kristian mengadakan sembahyang khas supaya usaha pencarian pesawat MH370 yang hilang itu dipermudahkan. 

Solat sunat hajat telah diadakan di Dewan Utama Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang pada 1.30 tengah hari tadi, sementara sembahyang khas penganut Buddha diadakan di Mahindrama Buddhist Temple, Jalan Kampar, pada pukul 10 pagi tadi. 

Pegawai dan anggota beragama Hindu pula akan mengadakan sembahyang khas itu di Sevan Temple, Jalan Datuk Keramat pada pukul 7.30 petang ini dan penganut Kristian di Gereja St. George, Lebuh Farquhar pada pukul 10 malam. 

Selain itu, enam kelab motosikal berkuasa tinggi di sekitar negeri ini turut mengadakan solat sunat hajat malam semalam ,iaitu Kelab Motosikal Utara (UB) Kelab Motosikal Sehati Sejiwa (SS), Kelab Motosikal Ducati Pulau Pinang (PDC) Kelab Pemilik Motosikal GTR Wilayah Utara (GTROCN Kelab Motosikal Butterworth (BBC) dan Northern Versys Owner Group (NVOG)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan