FISHING FOR LIFE

FISHING FOR LIFE

Khamis, 13 Mac 2014

ANTARA MAKAN GAJI DAN MEJADI USAHAWAN

Semua Orang Boleh Menjadi Usahawan
Saya sentiasa berpendapat sesiapa saja boleh jadi usahawan. Tidak kira apa latar belakang bidang pengajian anda, anda boleh jadi usahawan. Tidak kira anda dari bidang apa, anda boleh jadi usahawan.
Mungkin ada terfikir kalau semua orang jadi usahawan, siapa pula akan makan gaji.
Jika kita lihat hari ini, lebih ramai pelajar universiti memilih untuk bekerja makan gaji. Saya jangka lebih kurang 90% daripada pelajar dan graduan universiti memilih untuk bekerja makan gaji. Dengan kata lain, lebih kurang hanya 10% yang memilih untuk menjadi usahawan.
Kita juga lihat realiti hari ini, isu pengangguran antara isu yang hangat diperkatakan. Masih ramai yang tidak mendapat pekerjaan. Mana tidaknya, terlalu ramai yang memilih untuk bekerja makan gaji. Oleh itu, soalan di atas tadi perlu ditukar,
Kalau semua orang makan gaji, siapa yang nak jadi usahawan?
Bagi saya, jika semakin ramai yang memilih untuk menjadi usahawan, sudah pastinya lebih banyak peluang pekerjaan boleh dibuka. Ini dapat mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.
Risiko Ada Di Mana-Mana
Saya pernah ditanya oleh seorang rakan, apa perancangan saya selepas tamat belajar. Saya menjawab, saya ingin menjalankan perniagaan. Kemudian beliau bertanya, “Kau tahu tak yang bisnes tu berisiko?”
Risiko. Percayalah risiko itu ada di mana-mana. Sama ada bekerja makan gaji, berniaga atau menganggur, semua itu ada risikonya. Bukan hanya menjalankan perniagaan sahaja ada risikonya, perkara lain turut ada risikonya.
Contohnya, jika kita kerja makan gaji, firma tempat kita bekerja itu juga menjalankan perniagaannya. Sudah pasti mereka juga bakal hadapi risiko. Malah bekerja apa pun, ada risikonya.
Risiko boleh diatasi atau dikurangkan dengan adanya ilmu. Sebab itulah betapa pentingnya kita mempunyai ilmu tidak kira apa jua yang ingin kit lakukan terutama jika kita berhasrat menjadi seorang ushawan. Belajar dan terus belajar. Ilmu dapat mwngurangkan risiko.
Di Mana Kemahuan, Di Situ Ada Jalan. Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih
Seperti yang saya tulis diawal post ini, ramai yang menolak untuk menjadi usahawan dengan pelbagai alasan. Alasan-alasan yang diberikan sebenarnya boleh diatasi. Apa yang penting, kita ada keinginan. Untuk menjadi usahawan, kita perlu ada ilmu.
Belajarlah untuk menjadi usahawan, berfikirlah sebagai seorang usahawan. Saya percaya, kita semua boleh atasi halangan-halangan yang timul dalam dunia perniagaan. Apa yang penting, kuatkan semangat untuk menjadi seorang usahawan.
Namun, belajar tanpa sebarang tindakan tiada gunanya. Contohnya, kita membaca berpuluh-puluh buku keusahawanan dan perniagaan, namun tiada tindakan dibuat. Maksud saya di sini, ilmu sudah ada, namun ia tidak dilengkapkan dengan tindakan memulakan perniagaan hari ini juga.
Sebagai seorang pelajar, sezeorang itu masih boleh menjalankan perniagaan secara sambilan. Bagaimana caranya? Berfikirlah sebagai seorang usahawan… Salah satu cara yang boleh dilakukan untuk menjalankan perniagaan sambil belajar adalah dengan berniaga melalui internet.
Sekiranya kita ingin menjadi seorang usahawan yang berjaya, tetapi kita tidak memulakan langkah pertama hari ini, kita tidak akan berjaya buat selamanya-lamaynya.
Saya pernah ditanya, kalau saya mahu menjadi usahawan, mengapa saya tidak ambil kursus bidang perniagaan di universiti. Satu realiti yang perlu kita terima, bukan semua usahawan yang ada di muka bumi ini mempunyai kelulusan akademik dalam bisang perniagaan.
Ada saja usahawan yang lahir bukan dari lulusan bidang perniagaan universiti. Malah, ada juga yang tiada kelulusan universiti. Bahkan, bukan semua graduan berkelulusan bidang perniagaan universiti menjadi usahawan.
Pandangan saya, apa jua bidang boleh diniagakan. Sekali lagi, kita harus berfikir sebagai seorang usahawan. Fikir bagaimana menjadi bidang kepakaran kita sebagai suatu perniagaan.
Saya ingin mengajak para pembaca semua, marilah ramai-ramai kita berniaga. Jom jadi usahawan. Banyak kelebihannya jika kita terlibat dalam dunia perniagaan.
Walau bagaimanapun, kerja makan gaji juga pekerjan yang mulia di sisi agama, selagi mana ia bertepatan dengan agama. Ramai mereka yang bekerja makan gaji yang banyak memberi sumbangan kepada agama dan negara. Terpulang pada diri sendiri, pilihan di tangan kita.
Namun, tidak salah juga jika kita bercita-cita untuk menjadi seorang usahawan. Walau apa jua pekerjaan yang kita lakukan, pastikan kita suka melakukannya. Jangan pula kita bekerja atau melakukan sesuautu itu kerana terpaksa. Barulah hidup ini bahagia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan