FISHING FOR LIFE

FISHING FOR LIFE

Isnin, 24 Mac 2014

MEMANCING MUSIM SEKOLAH

MERSING 10 Jun - Setiap kali musim cuti persekolahan, golongan yang paling gembira ialah pelajar. Ini kerana boleh 'melupakan' seketika kerja rumah dan tugas mengulang kaji pelajaran seperti yang sering dilakukan setiap hari persekolahan. Bagi mengisi waktu pada cuti sekolah, biasanya anak-anak memenuhi hobi mereka bersama rakan-rakan. Jika pada zaman ini permainan komputer menjadi pilihan ramai, namun bagi pelajar di kawasan luar bandar dan kampung-kampung, hobi seperti memancing ikan sering mengisi masa terluang pada musim cuti persekolahan. Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan Mersing baru-baru ini mendapati, beberapa pelajar mengisi masa terluang cuti sekolah dengan memancing ikan bersama rakan-rakan. 

Seorang pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah (SM) Ungku Husin, Endau, Muhd. Izzat Fakhri Abd. Jalal mengakui, dia menghabiskan masa cutinya dengan memenuhi hobi memancing bersama rakan-rakan. ''Saya berasa seronok apabila memancing kerana ia dapat melepaskan tekanan belajar," katanya. Muhd. Izzat yang tinggal di Kampung Sungai Mengkuang di sini memberitahu, cuti kali ini digunakannya untuk berehat setelah penat mengulang kali pelajaran bagi menghadapi peperiksaan setengah tahun yang baru selesai. "Tidak salah jika saya keluar memancing untuk meredakan tekanan," katanya sambil memberitahu bahwa dia dan rakan-rakannya sering memancing di Sungai Teriang Besar, Endau. Tempat itu dikenali ramai kerana menjadi tumpuan kaki pancing ekoran didakwa mempunyai banyak ikan.

Muhd. Syamsul Azmi Adam, 13, pula berkata, dia juga gemar memancing dan sering datang ke situ bersama rakan-rakannya untuk mencuba nasib mendapatkan ikan.
Pelajar Tingkatan 1 SM Ungku Husin itu memberitahu, sering membawa pulang hasil tangkapan yang memuaskan seperti ikan duri, sembilang dan gelama untuk keluarganya.
Seorang lagi rakannya, 

Mohd. Shahril Aziz, 13, dari Kampung Sungai Bebuta, Endau pula menjelaskan aktiviti memancing tidak harus disalah tafsir sebagai membuang masa.
''Jika memancing sekadar membuang masa, mengapa perlu diadakan pertandingan memancing yang menyediakan hadiah lumayan seperti wang tunai ribuan ringgit," katanya.
Menurut pelajar tingkatan 1 di sekolah yang sama itu, ramai kaki pancing mendapat ilham dan ketenangan ketika melakukan aktiviti berkenaan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_01.htm#ixzz2wrKHAV73
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan